SUNGAI BULOH – Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak akan melakukan khianat atau sabotaj terhadap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanding di Rembau seperti yang tersebar dalam aplikasi Whatsapp oleh pihak tidak bertanggungjawab hari ini.

Sebaliknya calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh itu berkata, beliau dengan rela hati menyerahkan kerusi yang disandangnya selama tiga penggal kepada Mohamad.

Jelasnya, fitnah berkenaan direka oleh pihak lawan yang tertekan dengan kehadirannya sebagai salah seorang calon di Sungai Buloh.

“Terdesaknya orang-orang tertentu, reka Whatsapp seolah-olah saya sabotaj Tok Mat Hasan di Rembau.

“Saya keluarkan posting (hantaran), saya kata ini palsu dan lapor kepada polis kemudian semua penyokong Pakatan Harapan (PH) yang muat naik posting berkenaan padamkannya. Takut, takut. Sebar lagi fitnah.

“Mana mungkin saya nak sabotaj Rembau, saya beri kerusi itu dengan rela hati dengan Tok Mat Hasan,” katanya ketika pada program Ceramah Kasi Jadi Sungai Buloh di Subang Bestari, di sini, hari ini.

Malah Khairy memberi jaminan akan mengundi Mohamad pada Sabtu ini.

“Sebelum saya datang balik hari Sabtu, saya minta izin balik Rembau undi Mat Hasan sebagai Ahli Parlimen Rembau,” tambahnya.

Mengulas lanjut Khairy berkata, kempen berunsurkan fitnah sama sekali tidak wajar diterima hanya semata-mata untuk meraih undi.

“Pihak lawan pun dah tak senang hati, saya daripada awal lagi, katakan kita datang sebagai gentleman, kita mesti menjalankan kempen tertib, ada adab, tidak sentuh peribadi, tidak serang peribadi tidak menabur fitnah,” katanya.

Awal hari ini tular mesej dalam aplikasi WhatsApp mengenai beberapa mesej yang didakwa dihantar Khairy.

Justeru, penyandang kerusi Rembau itu telah membuat laporan polis terhadap akaun Twitter yang memuat naik tangkap layar perbualan aplikasi WhatsApp berunsur fitnah membabitkan beliau.

Menteri Kesihatan itu dalam masa yang sama turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Sementara itu, Khairy berikrar akan menjadi Ahli Parlimen yang menentang rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan sekiranya BN menang pada Sabtu ini.

Beliau juga akan memastikan tidak akan ada campur tangan terhadap sistem kehakiman demi menggugurkan mana-mana kes mahkamah yang sedang berjalan.

“Malam ini saya beri jaminan tidak kisah siapa, saya akan wakili suara orang Sungai Buloh saya akan tentang dan lawan habis-habisan.

“Kalau kerajaan BN menang, saya kalau jadi menteri lagi saya akan pastikan tiada langsung campur tangan dalam kes mahkamah yang melibatkan rasuah. Saya bukan macam parti lain menang gugurkan kes. Tidak, teruskan perbicaraan.

“Malam ini saya berikrar untuk pastikan kerajaan kita bebas penyelewengan, bebas rasuah dan tidak ada usaha gugurkan kes, tidak ada campur tangan kes kehakiman kalau tidak rakyat meluat, rakyat marah sebab tidak adil untuk semua,” ujar Khairy. – MalaysiaGazette