Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Sebuah parti hanya relevan apabila berupaya menangani isu-isu yang mampu mempengaruhi majoriti rakyat terutama di bandar.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, itu antara sebab beliau memutuskan untuk bertanding di kerusi bandar, walaupun ia merupakan cabaran untuk Barisan Nasional (BN) menang.

“Sangat penting (menang di kawasan bandar) kerana ia mencerminkan relevannya sesebuah parti itu. Kita tak mahu parti yang ada pengalaman, tapi dalam bandar tidak menang. Kita kena ada wakil dalam bandar, kalau ada pun how do you present people dalam bandar ini.

“Maksud saya adalah, kita kena ada strategi jangka panjang untuk memenangi hati masyarakat bandar. Tidak kiralah masyarakat itu Melayu ke, Cina ke, India ke, kita kena letakkan kesungguhan bukan ketika pilihan raya tetapi perlu berpandangan jauh.

“Selain itu, kita kena buat kerja secara konsisten supaya mereka tahu kita memahami permasalahan mereka,” katanya pada pemberita selepas program Majlis Ramah Mesra bersama Komuniti Cina di Taman Maluri, di sini, hari ini.

Calon Barisan Nasioanal (BN) Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ditemui pada program Majlis Ramah Mesra bersama komuniti cina di Taman Maluri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, hampir 73 peratus penduduk di Malaysia menetap di kawasan bandar dan UMNO perlu relevan untuk memenangi kerusi di kawasan berkenaan.

“Kalau UMNO ingin menjadi relevan, kita mesti menang kerusi di bandar, kalau tak 100 peratus pun, sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus untuk kita menang kerana di sini terdapat banyak isu masyarakat termasuk dari segi pemikiran dan jalinan.

“Sebab itu kita perlu ada pemimpin yang terbaik di kawasan bandar dan bekerja keras untuk yakinkan pengundi di sini, dia bukan cerita pasal kawasan selamat.

“Kalau tidak, semua orang nak cari kerusi selamat di luar bandar, tetapi realitinya isu adalah dalam kawasan bandar, apa yang mereka tidak puas hati di sini, bila mereka balik kampung, mereka akan menyebabkan tsunami di luar bandar pada masa akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette