Hujan lebat di sekitar Shah Alam malam tadi menyebabkan banyak kawasan dinaiki air.

SHAH ALAM – Bandar raya Shah Alam dilanda banjir lagi apabila hujan lebat sejak jam 10 malam tadi menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh kawasan di sini, termasuk dua lokasi di Klang dinaiki air.

Antara kawasan dilanda banjir kilat itu ialah Seksyen 13, Seksyen 22, Padang Jawa, Taman Sri Muda dan i-City di Shah Alam, manakala GM Klang dan Taman Sentosa di Klang.

Semua kawasan itu dinaiki air sedalam satu meter selepas dua jam hujan lebat dan sehingga jam 7.15 pagi ini, keadaan masih renyai.

Manakala air Sungai Klang pula dilaporkan telah melepasi paras bahaya sehingga jam 5 pagi ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor telah mengerahkan anggotanya ke beberapa lokasi dilanda banjir untuk turun membantu menyelamatkan penduduk yang kediaman mereka dinaiki air.

Paras air Sungai Klang di Seksyen 23, Shah Alam sehingga jam 5 pagi ini dilaporkan melepasi paras bahaya.

Shah Alam dan Klang dilanda banjir sebanyak tiga kali dalam tempoh 10 hari.

Kali pertama berlaku pada 8 November lalu, ketika negara ini berdepan dengan musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bilik Gerakan Pantas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan peringatan kepada penduduk Taman Sri Muda agar berjaga-jaga dan bersedia untuk dipindahkan ke kawasan selamat sekiranya paras air Sungai Klang terus naik.

MBSA juga turut menasihat penduduk di situ untuk meletakkan kenderaan di kawasan tinggi dan tempat letak kereta Pasar Moden Seri Muda sebagai langkah berjaga-jaga.

Sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam boleh hubungi Pasukan Pantas di talian 03-55105811.

Sementara itu, akses portal Info Banjir JPS Selangor terlalu perlahan untuk rakyat mendapatkan sebarang maklumat terkini mengenai banjir dan paras air. – MalaysiaGazette