KUALA LUMPUR – Tian Chua berharap keajaiban daripada pengundi pada Sabtu ini bagi memenangi kerusi Parlimen Batu pasa sabtu ini.
Beliau yang bertanding atas tiket Bebas berkata, walaupun bersaing dengan calon daripada parti politik yang telah dikenali ramai, keajaiban boleh berlaku berdasarkan maklum balas pengundi Batu yang diterimanya.
Katanya, pada awal kempen beliau mendapati pengundi di Batu keliru dengan statusnya sebagai calon Bebas dengan dakwaan dibiayai sebuah parti politik.
“Namun setelah beberapa siri kempen dan pertemuan bersemuka secara kelompok serta penerangan, mereka sudah keluar dari kepompong kekeliruan dan mendapat satu penjelasan yang tetap dan berpuas hati dengan kempen saya,” katanya semasa sesi walkabout menyantuni penduduk Flat Sentul Utama di Sentul, di sini, hari ini.
Menurut Tian Chua, sepanjang tempoh berkempen, beliau tidak menawarkan janji manis, sebaliknya mempertaruhkan perkhidmatan yang telah diberi lebih 15 tahun bagi meyakinkan para pengundi.
Malah Tian Chua berkata, beliau tidak menggunakan hubungannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai modal kempen.
Namun beliau kesal lawannya dari Pakatan Harapan (PH), P. Prabakaran mendakwanya sebagai penghalang kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.
“Kini terdapat juga khabar angin saya akan melompat ke parti lain jika menang sebagai wakil rakyat di sini Sabtu ini dan ia langsung tidak benar sama sekali,” ujarnya. – MalaysiaGazette