KUALA SELANGOR – Kurang tiga jam sebelum tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir tepat jam 11.59 malam ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz masih bersemangat melakukan pecutan terakhir bagi memastikan Parlimen Kuala Selangor kembali kepada Barisan Nasional (BN)
Meskipun beliau akui agak keletihan sepanjang 14 hari berkempen, namun semangatnya masih kuat dan tenaga kembali pulih setiap kali bertemu dengan pengundi, apatah lagi mendapat sambutan menggalakkan.
“Saya nak mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan jentera BN yang telah bersama saya sepanjang dua minggu ini, terutamanya rakyat Kuala Selangor
“Ini kerana mereka begitu mesra dengan saya dan memberi sokongan kepada saya setiap kali saya turun ke lapangan.
“Pengundi-pengundi yang saya temui beri tenaga, kadang-kala letih, bila jumpa mereka saya dapat tenaga balik.
“Tapi yang pentingnya adalah esok hari mengundi, saya berharap dapat sokongan daripada pengundi supaya saya dapat berkhidmat untuk rakyat Kuala Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Malawati, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan itu dan isterinya, Raja Datin Seri Johanna Adrian Raja Arshad dijangka mengundi di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam Fasa 2, di sini, jam 8 pagi esok.
“Kita pergi mengundi bersama di sekolah yang sama walaupun saluran berlainan,” katanya.
Terdahulu Tengku Zafrul bersama isteri serta ahli keluarganya menziarahi Makam Diraja Selangor di Bukit Malawati, di sini.
Makam DiRaja itu menempatkan moyang-moyangnya iaitu Sultan Selangor pertama, Sultan Salehuddin; Sultan Selangor kedua, Sultan Ibrahim dan Sultan Selangor ketiga, Sultan Muhammad.
“Kali terakhir saya ke sini dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama kaum kerabat lain pada lima bulan lepas.
“Tetapi pada masa itu saya masih lagi menteri kewangan, belum secara rasmi sebagai calon BN,” katanya.
Ditanya tentang pembangunan Bukit Malawati sebagai lokasi tarikan pelancongan, beliau tidak menafikan masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk menarik ramai pelancong.
“Tadi masa saya naik atas tadi ramai pelancong, banyak monyet juga.
“Banyak juga aktiviti pelancongan, tapi saya lihat potensinya lebih.
“Kalau boleh saya bangunkan Bukit Malawati, macam rumah rehat banyak lagi zaman sekarang sudah tiada.
“Kena perbanyak aktiviti di atas Bukit Malawati supaya keluarga dapat datang untuk menikmati pandangan dari atas bukit ini,” katanya. – MalaysiaGazette