Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

LIPIS – Peruntukan terbesar sebanyak RM6.7 bilion disediakan kerajaan untuk melaksanakan inisiatif di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk golongan belia 18 tahun ke atas melanjutkan pengajian.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan tersebut yang dibentangkan dalam Bajet 2023 masih belum dibahaskan di Parlimen dan memerlukan mandat kerajaan yang akan dibentuk kelak bagi meneruskan agenda TVET untuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar berharap agar pengundi memilih BN untuk membentuk sebuah kerajaan bagi meneruskan agenda tersebut seperti dirancang demi masa depan negara.

“Pada tahun ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah mendapat peruntukan yang besar di mana sejumlah RM 761.97 juta disediakan khusus untuk program TVET@KPLB, ia turut merangkumi program pendedahan TVET dalam kalangan pelajar terutama pelajar di luar bandar agar tidak ketinggalan.

“Seperti negara Korea Selatan, Jepun, China dan Singapura sentiasa mengukuhkan TVET dalam sistem pendidikan mereka selain memastikan teknologi terkini digunakan untuk kemajuan,” beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sembang TVET@KPLB di sini petang semalam.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Korporat dan Pembangunan Kemahiran, Mohd Fariszan Ahmad.

Kata Abdul Rahman, pendidikan TVET yang disediakan oleh kerajaan menelan kos yang besar memandangkan ia pendidikan yang berasaskan kerja lapangan serta menggunakan keperluan peralatan teknikal yang terkini bagi memenuhi silibus dalam memenuhi piawaian semasa pihak industri.

“Kerajaan menanggung lebih 70 peratus kos pengajian TVET bagi memastikan pelatih TVET mampu untuk belajar dalam persekitaran yang kondusif bagi melahirkan individu yang berbakat bagi memenuhi keperluan industri dalam dan luar negara,” ujarnya.

KPLB juga mempunyai institusi TVET terbanyak iaitu 280 buah di seluruh negara dengan menawarkan 515 program bagi memberikan pilihan kepada seramai 58,000 pelatih untuk mengikuti program yang disediakan berdasarkan kelayakan dan kecenderungan pelatih tersebut, katanya. – MalaysiaGazette