Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Foto AMIRUL SHAUFIQ. 08 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh Khairy Jamaluddin yakin pengundi Parlimen tersebut bijak membezakan fitnah dan politik kotor yang dimainkan oleh pembangkang.

Katanya, yang penting pengundi memahami tujuan beliau menawan Sungai Buloh adalah untuk membuat pembaharuan daripada pelbagai aspek.

“Biasalah ini saya sudah biasa dengan perkara seperti itu, ini kali keempat saya bertanding, saya jadi Ahli Parlimen selama tiga penggal. Ini adalah asam garam politik saya biasa dengan ini.

“Saya rasa pengundi lebih matang dan dapat membezakan politik kotor dengan visi kita janji untuk Sungai Buloh yang saya bentangkan untuk mereka,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sungai Plong, di sini, hari ini.

Baru-baru ini nama Khairy dipalitkan dengan tangkapan layar perbualan Whatsapp yang didakwa ia merupakan perbualan antara calon Barisan Nasional itu dengan salah seorang pegawainya.

Tangkap layar tersebut mengandungi arahan kononnya dari Khairy Jamaluddin mengarahkan individu terbabit untuk ‘menghapuskan’ Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan di Parlimen Rembau.

Sementara itu, mengulas pecutan terakhir berkempen, Khairy  berkata,pertandingan tujuh penjuru di Parlimen berkenaan masih sengit.

Sehubungan itu, Khairy menyeru semua pengundi kawasan berkenaan menterjemahkan sokongan kepadanya melalui undi dan tidak mahu mereka membuat kesimpulan bahawa beliau berada di zon selesa.

“Kita tidak mahu esok kita dapat undi yang banyak tapi tidak cukup, amat penting untuk pengundi Sungai Buloh jangan anggap bahawa pertandingan tidak sengit, atau buat kesimpulan.

“Sungai Buloh ini masih lagi pertandingan yang sangat sengit dan saya perlukan semua pengundi yang ingin memberi sokongan kepada saya untuk keluar awal pagi esok untuk kita kasi tukar,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast