Temubual SkopMG bersama Calon Barisan Nasional P.054 Gerik, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Gerik, Perak. Foto MUHD NA’IM, 04 NOVEMBER 2022.

GERIK – Barisan Nasional (BN) sudah berikhtiar sebaik mungkin bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung kurang 24 jam daripada sekarang.

Calon BN Parlimen Gerik Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau sendiri telah berjumpa dengan sebanyak mungkin pengundi di kawasan tersebut yang keseluruhannya berjumlah 47,565 orang.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda BN itu, jentera parti telah melakukan semampu mereka sepanjang kempen berlangsung.

“Kita sudah ikhtiar yang terbaik dan cuba berjumpa mendekati, menyantuni seramai mungkin pengundi daripada pelbagai kelompok.

“Baik orang Melayu di kampung dan pekan, orang Cina dan India. Kita jumpa orang asli sehingga ke hujung di Sungai Tiang, Pos Kima dan Banun yang terpaksa menaiki bot hampir dua jam. Kita bertemu masyarakat Siam.

“Jadi atas itu saya yakin dari segi jentera dan kesungguhan mereka luar biasa.

“Saya merasakan tersentuh kerja kuat jentera BN di Gerik. Mereka kerja sehabis mungkin dan sebaik mungkin,” kata Asyraf Wajdi.

Strategi BN untuk menang pada PRU ini adalah mereka telah mengenalpasti semua pengundi putih di kawasan masing-masing.

Menjadi indeks prestasi utama (KPI) jentera adalah membawa kesemua pengundi putih tersebut keluar mengundi esok.

“Kita ada KPI kita yang diletakan di semua lokaliti, cawangan. Sudah kenal pasti pengundi yang perlu dibawa keluar. Itu fokus kita.

“Insya-Allah bukan nak kata keyakinan, ini semua perancangan dan perencanaan Allah.

“Kita sudah ikhtiar yang terbaik dan cuba berjumpa mendekati, menyantuni seramai mungkin pengundi daripada pelbagai kelompok,” katanya.

Kerja terakhir BN adalah mendekati semua pengundi luar yang mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO jelas beliau, mempunyai jadual padat bertemu pengundi muda yang turut pulang.

Sementara itu Asyraf Wajdi yakin pengundi tidak akan tertipu dengan pembangkang seperti yang berlaku pada PRU14.

Malah menurutnya, cerita kekalahan BN yang dicanang pembangkang mengulangi episod pilihan raya kecil di Melaka dan Johor.

“Kita dapat tengok macam-macam cerita viral tohmahan dan andaian seolah-olah PH mendahului, kejap BN mendahului.

“Ini samalah seperti PRN Melaka dan Johor. Kalau kita tengok andaian-andaian dan isu yang ditularkan dalam media sosial mengambarkan BN akan kalah.

“Tapi alhamdulillah akhirnya rakyat tidak mudah tertipu dengan andaian seperti itu,” katanya.

Asyraf Wajdi ditemui ketika menyantui mangsa banjir di Taman Akasia, Pengkalan Hulu di sini.-MalaysiaGazette