Jentera Barisan Nasional (BN) melakukan konvoi bagi sertai pecutan akhir sempena Tanjong Karang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Tanjong Karang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 19 NOVEMBER 2022.

TANJONG KARANG – Lebih 2,000 jentera bermotosikal Pemuda Barisan Nasional (BN) yang menyertai Konvoi Jelajah Parlimen Tanjong Karang membuktikan calonnya, Datuk Habibah Mohd Yunos kini mendapat sokongan akar umbi untuk mempertahankan kerusi P095, esok.

Ketua Pemuda BN, Datuk Shahrizal Shahri berkata, sayap parti itu yang sebelum ini terkesan apabila penyandangnya, Tan Sri Noh Omar tidak dicalonkan semula kini kembali dan sedia menerima siapa pun calon.

“Syukur kepada Allah sokongan akar umbi sudah mula kembali dan memang kita nampak sokongan akar umbi sudah kembali.

“Pengundi atas pagar pun kita gerakkan pemuda semua komited untuk pastikan BN menang,” katanya kepada pemberita, di Laman Astaka, di sini, hari ini.

Kerusi P095 Tanjong Karang bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Datuk Dr. Zulkapferi Hanafi (PN); Siti Rahayu Baharin (PH); Azlan Sani Zawawi atau Lando (GTA) dan calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol.

Noh mempertahankan kerusi itu sejak 1995 melalui PRU9 hingga PRU14.

Dalam pada itu, konvoi jelajah itu bukan perkara baharu malah ia merupakan tradisi Pemuda BN Tanjong Karang sebagai pecutan terakhir setiap hari terakhir kempen pilihan raya.

“Konvoi ini menunjukkan anak-anak muda, jentera Pemuda BN dan jentera bermotor telah bersiap sedia untuk PRU15.

“Setiap tahun kita akan berkonvoi dan kali ini kita akan pusing ke 17 PDM (pusat daerah mengundi),” katanya. – MalaysiaGazette