Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dikatakan masih menjadi pilihan pengundi di kawasan itu.

Ia berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh GE15Poll bagi Parlimen Ampang.

Dalam kaji selidik itu Zuriada masih di hadapan dengan 37.84 peratus sokongan.

“Setelah dua siri kajian dijalankan, daripada enam calon utama yang kaji, calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) iaitu Zuraida mendahului dengan 37.84 peratus sokongan pada siri pertama dan 42.52 peratus pada siri kedua.

“Diikuti oleh calon Pakatan Harapan (PH), Rodziah Ismail pada 26.51 peratus pada siri pertama dan 20.25 peratus sokongan pada siri kedua,” kata Ketua Pegawai Penyelidik GE15Poll.Org, Shamir Adnan dalam kenyataan, hari ini.

Seramai 19,671 responden menjawab kaji selidik itu yang dijalankan k eatas 177,385 persampelan.

Menurut Shamir, kajian dijalankan menerusi dua siri bermula 4 hingga 6 November lalu dan siri kedua pada 10 hingga 13 November lalu.

Metodologi kajian adalah secara bersemuka, melalui panggilan telefon dan juga hantaran melalui sistem aplikasi digital telefon bimbit.

Dalam kaji selidik tersebut, pengundi menggariskan isu ekonomi, pendidikan dan persekitaran kawasan termasuk kebersihan dan keselamatan sebagai isu utama yang ingin difokuskan semua calon.

Zuraida dicabar Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN), selain Rodziah Ismail (PH), Sasha Lyna Abdul Latif (PN) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang).

Turut bertanding, Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M Raveendran.

Untuk rekod, pada 25 Mei lalu, Zuraida meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi selepas melompat parti daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Dapatan kajian itu turut mendapati, terdapat dalam kalangan pengundi tempatan tidak mengetahui status Ahli Parlimen penyandang telahpun bertukar parti.

Secara keseluruhan, isu lompat parti oleh penyandang Ahli Parlimen Ampang menjadi kurang penting kepada pengundi Ampang jika dibandingkan dengan perkhidmatan Pusat Khidmat yang memberi impak kepada sokongan terhadap beliau.

Manakala pencabar terdekat dari PH masih mengikuti di tempat kedua dan memerlukan lonjakan daripada pimpinan Pakatan Harapan
bertaraf nasional untuk berkempen di Ampang bagi mengimbangi sokongan yang kini pada tahap pengundi tradisi pembangkang atau ahli-ahli parti pakatan itu.

Menurutnya, penyertaan parti Warisan dan MCA merubah sedikit sokongan pengundi Cina daripada blok PH namun majoriti pengundi Cina masih menyokong pakatan itu. – MalaysiaGazette