YONG PENG – Pengundi-pengundi disaran supaya keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih seawal mungkin kerana dibimbangi cuaca menjadi lebih buruk pada sebelah petang.
Kekhuatiran itu disuarakan calon Barisan Nasional (BN) Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong yang memberitahu, keluar mengundi awal adalah lebih baik daripada menangguh-nangguh untuk berbuat demikian.
“Bagi saya sejak awal pagi dari pukul 8 hingga pukul 10, perjalanan proses mengundi itu berjalan dengan lancar.
“Walaupun hujan mulai turun seawal pagi tetapi, ia tidak menghalang pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab.
“Saya rasa mereka perlu lebih awal untuk keluar mengundi kerana khuatir juga kalau hujan berlarutan hingga petang sebab susah mereka nak keluar nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Yong Peng, di sini, hari ini.
Hujan lebat dan sesekali renyai berlaku sejak awal pagi tadi di tiga kawasan iaitu Parit Sulong, Batu Pahat dan Ayer Hitam.
Keadaan itu menyebabkan aliran trafik menjadi sesak susulan pemandu terpaksa berhenti lama untuk menurunkan penumpang yang hendak mengundi di pusat-pusat undi terutama pusat mengundi yang terletak di tepi jalan utama.
Terdahulu, Ka Siong hadir di pusat pengundian tersebut pukul 10.49 pagi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Jessica Lim Hai Ean.
Beliau hadir dengan memakai baju kemeja warna biru manakala isterinya mengenakan pakaian berwarna hitam.
Sementara itu, di Parit Sulong, calon BN di kawasan berkenaan, Datuk Seri Noraini Ahmad turut menyarankan perkara sama supaya pengundi tidak menangguh waktu untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.
Katanya, bukan sahaja hujan malah, pelbagai masalah lain mungkin boleh berlaku jika mereka lewat untuk berbuat demikian.
“Saya memang bangun sentiasa awal dalam 4.30 pagi . Samalah juga seperti hari ini macam kebiasaan. Cuma yang penting kita nak mengundi dan saya pun telah jalankan tanggungjawab selaku rakyat Malaysia,” ujarnya yang selesai mengundi pukul 8.20 pagi tadi. – MalaysiaGazette