Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama isteri selesai mengundi di SK Taman Maluri.

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selesai mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) jam 9.05 pagi tadi.

Beliau bersama isterinya, Datin Seri Zurwati Haslinda Zainal Bahry mengundi di saluran tiga pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri, hari ini.

Terdahulu, beliau yang dilihat memakai kemeja berwarna kelabu hadir bersama isterinya dalam keadaan hujan renyai-renyai di sini pada jam 8.55 pagi.

Ketibaan beliau disambut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang meninjau di sekolah berkenaan.

Setakat pagi ini, ramai pengundi dilihat di saluran satu, dua dan tiga namun pengundi muda di saluran lapan dan sembilan masih lengang.

Johari pernah memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU13 namun tewas kepada Datuk Seri Rina Harun pada PRU14 dengan perbezaan 4,139 undi.

Kali ini, beliau kembali bertanding dalam saingan empat penjuru dan bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH) Khalid Abdul Samad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) serta Dr Rosni Adam yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Parlimen Titiwangsa mempunyai 80,747 orang pengundi berdaftar dengan tiga zon melibatkan Kampung Pandan, Datuk Keramat dan Kampung Baru.

Daripada peratusan itu, 72.5 peratus bersamaan 58,509 pengundi Melayu, 16.4 peratus bersamaan 13,250 pengundi Cina, sementara 9.5 peratus 7,687 adalah pengundi India, dan lain-lain, 1.6 peratus bersamaan 1, 301 pengundi.

Mengikut pecahan zon pula, daripada 80,747 pengundi itu, 47. 3 peratus atau 38,247 akan mengundi di zon Kampung Pandan, turut mengundi di zon Datuk Keramat, 27.4 peratus bersamaan 20,414 pengundi, sementara zon Kampung Baru 25.3 peratus bersamaam 22,086 pengundi.

Daripada jumlah itu juga, 21.1 peratus pengundi di sini antara 31 sehingga 40 tahun, diikuti 21sehingga 30 tahun melibatkan 19 peratus dan 17 peratus antara 41 sehingga 60 tahun. – MalaysiaGazette