Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pas mencipta rekod apabila menang semua 22 kerusi di Parlimen Terengganu dan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pas bertanding di lapan kerusi Parlimen Terengganu dan 14 di Kelantan.

Ini menyaksikan Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang memperoleh 73,115 undi di Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi.

Keputusan juga amat mengejutkan apabila calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang memegang Parlimen berkenaan selama 11 penggal akhirnya tewas dengan calon PAS, Mohd Azizi Abu Naim.

Selain Gua Musang, PAS turut merampas dua kerusi milik BN di Ketereh dan Machang di Kelantan, manakala Parlimen Besut dan Hulu Terengganu di Terengganu.

Malah, kerusi Parlimen Machang yang disandang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub juga dirampas oleh calon PAS, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Di Terengganu, kemenangan juga diraih penyandang di kerusi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid apabila memperoleh 49,601undi dengan majoriti 22,197 undi.

Ia sekali gus menumbangkan pencabarnya daripada BN yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim turut mendahului dengan majoriti 35,914 undi.

Calon muka baharu bagi Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh turut mendahului dengan majoriti 17,241 undi.- MalaysiaGazette