Abdul Rahman beratur di luar pagar SK Seri Penanti bagi menunggu giliran mengundi bagi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – “Sudah 12 kali saya mengundi di Permatang Pauh dan setiap kali saya merupakan pengundi terawal,”.

Demikian kata Abdul Rahman Ahmad, 70, yang merupakan pengundi terawal tiba di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, di sini, untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Abdul Rahman.

Menurut warga emas itu, dia keluar rumah seawal jam 6 pagi untuk memastikan tiba awal di pusat mengundi.

“Saya kayuh basikal kira-kira tujuh kilometer iaitu dari rumah di Tanah Liat untuk ke SK Seri Penanti ini.

“Saya dah boleh agak masa perjalanan untuk ke sini untuk menjadi pengundi terawal kerana sudah 12 kali mengundi di Parlimen sama membabitkan Pilihan Raya Kecil serta PRU.

“Selain itu, setiap kali musim pilihan raya saya merupakan orang pertama yang tiba di pusat mengundi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, tinjaun MalaysiaGazette juga mendapati pengundi kurang upaya di Parlimen Permatang Pauh memilih untuk datang awal ke pusat pengundian bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Pengundi kurang upaya, Salmiah Mohd Taib, 80, (kiri) dan Jamaayah Harun, 84, (kanan) menunjukkan dakwat kekal pada jari mereka selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Permatang Pauh hari ini.

Menurut Salmiah Mohd Taib, 80, dia akan datang awal untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kerana tidak mahu bersesak dengan orang lain.

“Mak cik tak ingat ni undi kali ke berapa tapi sejak boleh undi tu memang tak pernah lepas peluang mengundi.

“Selain tu, saya datang awal untuk elak berbaris  kerana kita tahu tahun ini pilihan raya ramai anak muda,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Jamaayah Harun, 84, pula mengakui teruja untuk membuang undi pada pilihan raya kali ini walaupun terpaksa berkerusi roda.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan cepat dan lancar dengan bantuan pasukan keselamatan serta petugas SPR di sini,” katanya.

Setakat jam 2 petang tadi, SPR melaporkan 58 peratus pengundi telah keluar mengundi.

Pengundian PRU15 bermula sejak jam 8 pagi itu akan berakhir pada jam 6 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast