Anwar Ibrahim. Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2022.

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) yakin akan membentuk Kerajaan Persekutuan kerana parti gabungan itu telah melepasi majoriti mudah iaitu 112 kerusi.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, PH sebagai blok parti gabungan terbesar yang menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah mencapai persefahaman menerusi sokongan ahli-ahli Parlimen lain.

Beliau berkata, perbincangan dengan mereka kini dalam proses dokumentasi perjanjian sebelum diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Namun, Anwar yang juga Presiden PKR enggan mendedahkan butiran perbincangan dengan pihak mana bagi membentuk kerajaan selain menegaskan PH mempunyai jumlah majoriti yang cukup.

“Tidak parti gabungan yang memiliki majoriti mudah dan kami memerlukan beberapa proses lanjut.

“Saya dimaklumkan kami sudah mencapai persetujuan bagi bentuk kerajaan untuk diperkenan Yang Di-Pertuan Agong.

“Saya tidak melayan khabar tetapi hanya fakta sahaja dan PH akan membentuk kerajaan kerana memiliki majoriti lebih 112 kerusi.

“Sudah tentu kami mengalukan parti lain untuk bekerjasama tapi saya tidak boleh cakap lebih terperinci,” katanyan pada sidang media PH di sebuah hotel di sini hari ini.

Sehingga pukul 4.00 pagi ini, keputusan PRU15 secara rasmi menunjukkan PH telah memenangi 81 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, adalah mustahil PN akan dapat membentuk kerajaan memandangkan PH ada blok parti yang terbesar memenangi kerusi Parlimen.

Sebelum itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PN mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca PRU15.

Muhyiddin juga berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan pimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin itu, Anwar berkata, mustahil PN mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan ketika ini memandang PH merupakan blok terbesar. – MalaysiaGazette