KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berjaya menawan kembali Parlimen Titiwangsa dengan majoriti 4,632 selepas meraih 25,042 undi.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad yang hanya meraih undi 20,410 undi.
Manakala calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Rosni Adam pula, memperoleh undi sebanyak 14,518 undi, dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mewakili parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meraih 888 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa, Firdzaus Said di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, malam tadi.
Terdahulu, Johari yang meraikan kejayaan bersama penyokongnya berkata, kemenangan itu amat bermakna atas hasil kerjasama semua pihak sejak lebih empat tahun lalu.
“Pertama sekali saya nak sebut, bahawa kemenangan ini adalah untuk rakyat Titiwangsa. Kemenangan ini agak mustahil kalau tidak kerana tuan puan semua.
“Sebenarnya ini adalah hasil kerja tuan puan bersama saya selama empat tahun enam bulan walaupun bukan lagi menjadi wakil rakyat ketika PRU14.
“Fokus saya selepas ini adalah ingin melihat apa sahaja isu berbangkit membabitkan flat Sungai Baru, Pasar Raja Bot, Pasar Datuk Keramat dan flat Tun Razak.
“Di samping itu, saya akan mainkan peranan yang lebih aktif dalam Parlimen khususnya untuk menyumbang dalam pembangunan sesebuah negara.
“Saya sebenarnya bila lihat keputusan seluruh Malaysia, ia tidak menggambarkan keputusan yang saya jangka untuk semua parti politik. Apa nak buat? Ini pilihan rakyat,” katanya ketika berucap di Pusat Operasi BN Titiwangsa, Taman Maluri di sini, malam ini.
Sebelum ini, Johari pernah memenangi kerusi Titiwangsa pada PRU-13, namun tewas kepada Datuk Seri Rina Harun pada PRU-14 selepas meraih majoriti 4,139 undi dan memperoleh 23,840 undi. – MalaysiaGazette