KUALA LUMPUR – Barisan Nasional tidak perlu menjadi sebahagian daripada kerajaan yang akan dibentuk kelak kerana tindakan tersebut akan menjadi ‘bahan’ lima tahun yang tidak mungkin parti dapat menangkis.
Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, menyertai kerajaan juga akan membawa kepada asbab dan motivasi untuk memastikan BN dibenam lebih dalam pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)
Katanya, agak sukar untuk mewajarkan kepada rakyat bagaimana satu parti yang kalah tetapi ada dalam kerajaan sedangkan parti atau parti-parti yang memperoleh 70 atau 80 kerusi menjadi pembangkang.
“Lain ceritanya kalau kita ada pakatan pra-pilihanraya. Tapi tidak. Tiada ‘moral standing’ untuk kita terbabit dalam Kerajaan.
“Kali ini, tiada pandemik atau perpecahan dalaman pihak yang menang pilihanraya yang menuntut kita menjadi ‘penyelemat’ apa-apa keadaan. Tiada hujah atau justifikasi ala Mac 2020,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Shahril berpandangan, BN wajar duduk di blok pembangkang.
Katanya, jika kemaslahatan lebih besar menuntut BN membantu mencukupkan angka 112 agar seorang Perdana Menteri dilantik secara sah mengikut Perlembagaan, maka ia mesti jelas bahawa:
– Kita pembangkang bukan kerajaan
– Kita ‘bantu’ hanya secara ‘teknikal’ supaya lantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong dapat dilaksanakan
– Kita hanya bantu meluluskan ‘money bills’ terutamanya Belanjawan dengan syarat yang munasabah seperti pandangan kita diambil kira supaya kerajaan tidak ada risiko runtuh setiap tahun.
“Tapi kita bebas mengkritik dan main peranan sebagai pembangkang. Kalau atas apa-apa sebab kita tidak setuju dengan Belanjawan, boleh sahaja berkecuali, dan Belanjawan tetap lulus tanpa sokongan aktif BN,” katanya.
Bagi rang undang-undang lain, katanya, parti dan ahli Parlimennya bebas menyokong atau membangkang mengikut kesesuaian dan keputusan parti.
Katanya, kekalahan kerajaan meluluskan sesuatu RUU selain Belanjawan tidak semestinya meruntuhkan Kerajaan. Perkara ini sudah lazim berlaku dalam sistem demokrasi lain.
Mengulas lanjut, Shahril yang tewas di Parlimen Alor Gajah berkata, BN harus fokus kepada agenda pembaharuan dan bermuhasabah agar dapat bangkit daripada kekalahan gergasi.
Katanya, BN juga tidak akan terganggu dengan menjadi sebahagian daripada kerajaan dan kemudian perlu menjustifikasi pembabitan kita selama 5 tahun.
“Tambahan lagi, kita ‘berperang’ dengan PH dan PN bukan dua minggu. Tapi lama dan serius. Sebelum PRU15 pun sudah tidak stabil dengan situasi dalaman kerajaan campuran.
“Maka untuk sekarang terus bersama dengan mana-mana pihak amat janggal. Mungkin untuk mereka kurang janggal kerana kalau kita terbabit, mereka akan jadi peneraju dan kita sekadar pelengkap.
“Tapi kita buat cara kita. Kita kena ada ‘kelas’. Kita kalah, mereka menang. Kita beri tumpuan kepada pembinaan semula parti ini,” katanya. – MalaysiaGazette
BN tak perlu sertai kerajaan..tak perlu anggotai kabinet..DYMM Agong boleh lantik kerajaan minoriti..buat CSA…so kerajaan tidak boleh sesuka hati buat dasar yg akan hancurkan negara…ia perlu melalui parlimen..Kalau Ok..UMNO sokong..kalau dasar bangang, UMNO tak sokong..kat Britain pun ada kerajaan minoriti mcm ni..so kalau kerajaan buat dasar bangang tak lah UMNO dipersalahkan…
UMNO perlu berpegang teguh kpd slogan NO ANWAR NO DAP akar umbi. Tidak menyertai mana2 blok juga merupakan suatu pilihan! Tanggungjawab menjaga negara kini lebih dibahu pihak yang menang…