BN pembangkang
Dewan Tertinggi BN mengadakan mesyuarat berhubung situasi selepas PRU-15. (Gambar: Facebook Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki)

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan, BN boleh kekal sebagai pembangkang untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan yang bakal dibentuk.

Pada masa yang sama, beliau membangkitkan persoalan sama ada kerajaan boleh dibentuk tanpa penyertaan BN dan wajarkah BN membiarkan negara dalam keadaan Parlimen tergantung.

“Apa-apapun prinsip BN tetap satu, apa jua tawaran sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) akan dinilai dan diperhalusi berpandukan kepada prinsip asas iaitu jika membawa kebaikan dan manfaat kepada kestabilan dan kemakmuran untuk rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Setakat hari ini, kerajaan baharu belum dapat dibentuk kerana tiada parti yang berjaya memperolehi majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keputusan di 220 kerusi Parlimen menunjukkan PH beroleh 82 kerusi diikuti PN (73 kerusi), BN (30 kerusi) manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan tiga kerusi, calon Bebas dua kerusi serta Parti Kesejahteraan Demoratik Malaysia (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu kerusi.

Ketika ini, PH dan PN berusaha ‘memancing’ sokongan BN bagi membolehkan salah satu gabungan politik itu beroleh majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Asyraf Wajdi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO turut menyuarakan kehairanan apabila PH dan PN sanggup memberi pelbagai tawaran kepada pemimpin-pemimpin BN.

“Tak sangka pula BN yang disumpah seranah, dikecam, ditohmah dan difitnah dengan pelbagai label dan gelaran, namun akhirnya hari ini kepimpinan diminta pula menilai tawaran-tawaran yang ditawarkan oleh PH dan PN hanya untuk membolehkan kerajaan dibentuk,” katanya. – MalaysiaGazette