kenderaan yang rosak dalam kejadian pokok tumbang di Bangi awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Dua buah kenderaan rosak selepas dihempap pokokĀ  dalam kejadian yang berlaku di Jalan P1, Kawasan Perindustrian Bangi-Sungai Merab di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan pada jam lebih kurang 6.20 pagi tadi, memaklumkan mengenai insiden pokok tumbang dan menghempap kenderaan.

Anggota bomba memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghampap kereta dalam kejadian di Bangi awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

Katanya, bertindak atas panggilan kecemasan itu, sebuah jentera dari Balai Bomba Bangi dikerah ke lokasi bencana itu.

“Sejurus tiba di lokasi mendapati sebatang pokok setinggi enam meter telah tumbang menghalang jalan dan menghempap bahagian hadapan sebuah kereta yang sedang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun.

Keadaan motosikal yang rosak selepas penunggangnya hilang kawalan dan melanggar pokok tumbang itu dalam kejadian di Bangi awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

“Selain itu, sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang lelaki berusia 33 tahun hilang kawalan dan melanggar pokok tumbang itu dan mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norazam lagi, kedua-dua lelaki itu terselamat tanpa sebarang kecederaan fizikal.

“Pasukan bomba dengan kekuatan anggota yang ada di lokasi telah menjalankan kerja-kerja pembersihan dan memotong sisa pokok tumbang itu untuk dialihkan segera bagi mengelak laluan dihalang,” tegasnya.- MalaysiaGazette