Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 NOVEMBER 2022

KUALA LUMPUR – Penubuhan Kerajaan Negeri Perak dengan gabungan blok politik antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) merupakan satu permulaan baik kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau melihat ia merupakan satu perkembangan yang positif ke arah kerjasama antara dua blok parti bagi mewujudkan kerajaan yang stabil.

“Saya menyambut positif perkembangan di Perak kerana itu menunjukkan BN-PH mampu bergabung untuk menubuhkan kerajaan negeri.

“Itu permulaan yang baik,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Terdahulu, BN Perak bersetuju menjalinkan kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri baharu Perak.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, persetujuan antara dua gabungan parti itu telah disembah maklum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Perak, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar tidak menolak kemungkinan kerjasama PH-BN lebih kepada rakan kongsi dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang bakal dibentuk nanti.

“Sebagai rakan kongsi utama ya, termasuk Sabah dan Sarawak, kita tidak ketepikan sesiapa sahaja.

“Setakat ini rundingan rasmi hanya dengan komponen utama iaitu BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. B END tanpa berunding dgn PN ikut pintu belakng dan tebuk atap masuk dalam kain PanKHIANAT dan DAPIS terus mengadap SULTAN

    Dewan Tertinggi BN tak pernah bincang pembentukan kerajaan Perak – Ka Siong
    By Wartawan MalaysiaGazette – 21 November 2022

Comments are closed.