DAMANSARA — Perikatan Nasional (PN) berkeyakinan sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan pusat.

Malah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sokongan itu melebihi jumlah yang diperlukan.

“Dah cukup jumlah! Melebihi daripada cukup” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PN mengesahkan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas beredar dari kediaman Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara pada 2 petang tadi.

Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, beliau bersedia untuk menerima undangan ke Istana Negara bagi menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

“Tunggu diundang (ke Istana Negara) bila-bila masa sahaja,” katanya.

Pengamal media sudah berkumpul di sini sejak jam 8 pagi tadi bagi mengikuti perkembangan pergerakan Tan Sri Muhyiddin Hassan.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan memaklumkan, PN telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun (SD) daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat.

SD itu memberikan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh Seri Paduka Baginda.

Tambah ahli Parlimen Larut itu, jumlah SD yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette