Gambar hiasan

ROME – Jumlah kemasukan ke hospital akibat koronavirus kembali meningkat di Itali, sekali gus mencetuskan kebimbangan potensi lonjakan semasa musim sejuk yang akan datang.

Yayasan Gimbe, sebuah entiti pemantauan kesihatan berkata, bilangan pesakit di unit rawatan rapi meningkat hampir 22 peratus pada minggu yang berakhir pada 17 November.

Peningkatan dalam kemasukan unit rawatan rapi adalah lebih cepat daripada jumlah kemasukan hospital berkaitan koronavirus secara keseluruhan, meningkat hampir 10 peratus dalam tempoh yang sama.

Jumlah jangkitan koronavirus juga meningkat, dengan sekitar 208,000 dalam tempoh masa yang sama, kenaikan daripada 181,000 pada minggu sebelumnya.

Ini mewakili lonjakan sebanyak 15 peratus, namun kematian mingguan turun sebanyak 2.9 peratus.

“Dengan peredaran virus yang semakin meningkat, kami menjangkakan kerajaan akan mengeluarkan pelan tindakan untuk musim sejuk tidak lama lagi,” kata Nino Cartabellotta, Presiden Yayasan Gimbe.

Cartabellotta telah menggesa penduduk Itali berhati-hati ketika cuaca sejuk dan lebih banyak aktiviti bergerak di dalam rumah, mewujudkan keadaan yang lebih baik untuk atasi penyebaran virus itu.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Orazio Schillaci pada minggu lalu berkata, koronavirus telah memasuki “fasa endemik” di Itali, bermakna walaupun ia tidak akan hilang, wabaknya akan kekal terkawal.

Schillaci menambah, koronavirus harus dirawat dengan cara yang sama seperti influenza, dengan menyatakan ramai orang diuji positif tetapi tanpa gejala.

Walau bagaimanapun, Schillaci menggesa individu yang paling terdedah kepada jangkitan untuk terus memakai pelitup muka.

Itali telah mengedarkan dos vaksin keempat. – Agensi