:Antara penerima pingat daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada empat individu.

Empat penerima itu ialah Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Lim Juay Jin, Ketua Unit Penjagaan Luka (Wound Care) Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Prof Datuk Dr Harikrishna KR Nair; Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, Prof Datuk Dr Kassim Thukiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Lukman Abu Bakar.

Majlis pengurniaan darjah yang membawa gelaran Datuk itu diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan suami kepada Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim iaitu Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Selain kurniaan pingat DMIJ, Sultan Johor turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada sembilan individu.

Mereka yang menerima SIJ ialah dua orang Juruiring Tentera Sultan Johor, Kolonel Mohd Shawal Arbanyin dan Leftenan Komander Bakhri Shah Abdullah serta Juruiring Polis Sultan Johor, Asisten Superintenden Mohd Irwan Rasul.

Selain itu, turut menerima SIJ ialah Pengurus Besar (Pembangunan Hartanah) Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Holdings Sdn Bhd, Nor Azleena Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Ahmad Nazir Mohd Nasir dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor, Abdul Malik Ismail.

Dua lagi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Mohd Zamri Kambari dan Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Malaysia, Korea Selatan, Muhammad Haidas Muhammad Sharif Song. – MalaysiaGazette