Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Mesyuarat Khas Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan caretaker akan membentangkan mini Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2023 di Parlimen bagi peruntukan gaji penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembentangan itu dibuat olehnya sekiranya kerajaan baharu belum dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebab gaji kepada penjawat awam perlu dibayar pada Januari. Tidak ada perbahasan tapi bentang dan lulus. Bajet pembangunan tidak ada,”  jelasnya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau masih menjadi Perdana Menteri caretaker selagi kerajaan baharu ditubuhkan.

Justeru beliau menyeru rakyat agar tidak keliru dengan status semasa pentadbiran negara dan bimbang kerana kerajaan tidak berfungsi pada masa sekarang.

“Kalau tidak ada parti yang boleh menubuhkan kerajaan kerana tidak cukup majoriti mudah 112 (kerusi), jadi kerajaan yang ada masih kekal sebagai caretaker.

“Rakyat jangan keliru seolah-olah tidak ada kerajaan. Kerajaan masih kekal, kami sebagai caretaker,” katanya lagi.

Bagaimanapun menurut beliau, ahli Parlimen yang kalah pada pilihan raya baru-baru ini secara automatik tidak lagi berada dalam Kabinet kerajaan sementara di bawah beliau.

“Yang kalah tidak boleh ada jawatan menteri seperti sebelum ini kerana bukan Ahli Parlimen tetapi kerajaan masih boleh berfungsi sebagai biasa,” tambah beliau.

Ismail Sabri yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Perlimen Bera memenanginya dalam PRU15 baru-baru ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menghadap baginda hari ini selepas tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast