KUALA LUMPUR – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn pagi ini bakal menjadi tumpuan dan debaran sementara menunggu keputusan yang dibuat parti gabungan itu.
Mesyuarat yang bermula pukul 11.00 pagi amat penting untuk merangka keputusan sama ada BN memilih Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) bagi membantu pembentukan kerajaan Persekutuan atau menjadi pembangkang bagi penggal ini.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Terdahulu, beberapa pemimpin BN dilihat tiba di Menara Dato’ Onn bagi menghadiri mesyuarat itu, antaranya Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan Dewan Tertinggi BN akan membuat keputusan berhubung sokongan mereka kepada gabungan parti politik untuk membentuk kerajaan.
PN mendakwa sudah cukup bilangan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, sementara PH belum mencukupi bilangan kerusi diperlukan.
Pada masa sama, PH melalui Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan membentuk kerjasama bersama BN dan mempunyai majoriti untuk ke Putrajaya.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar PN dan PH bergabung untuk menubuhkan kerajaan.
Ini kerana mereka beroleh jumlah undi yang lebih tinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, BN bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dalam memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan baharu.
Kata Mohamad, jika bantuan BN diperlukan dalam waktu peralihan pasca PRU15, BN tetap bersedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.
“Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat.
“Kami hanya menghormati keputusan itu.” katanya dalam hantaran Facebook miliknya. – MalaysiaGazette