Salamiah Mohd Nor
Salamiah Mohd Nor

KUANTAN – Salamiah Mohd Nor yang baru diberi mandat oleh warga Temerloh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini kesal tidak dapat membantu mangsa yang terkesan akibat banjir di Mentakab hari ini.

Beliau yang berada di ibu negara berkata, beberapa kawasan penempatan di Kampung Batu Kapur Bawah, Mentakab telah dinaiki air akibat limpahan air Sungai Semantan yang meningkat mendadak selepas hujan beberapa hari lalu.

“InsyaAllah, selepas selesai urusan-urusan Ahli Parlimen yang sedang berjalan di Kuala Lumpur selesai saya akan segera menziarahi mangsa-mangsa banjir yang terlibat. Saya mohon maaf atas keuzuran ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Salamiah, beliau telah menghubungi 13 keluarga terlibat untuk memastikan kebajikan dan kesihatan mereka yang kini berada di Pusat Penempatan Sementara (PPS), Dewan Seri Gading sentiasa terjaga.

Beliau turut mendoakan mangsa-mangsa yang terlibat dipermudahkan semua urusan dan diberikan kekuatan untuk menghadapi musibah banjir itu. – MalaysiaGazette