Mohd Radzi membersihkan dahan pokok rambutan yang tumbang menghempap bumbung dapur rumahnya di Kampung Serkam Darat, Merlimau, awal pagi tadi.

JASIN – Kira-kira 30 penduduk di Kampung Serkam Darat, di sini berdepan detik cemas apabila rumah didiami dipukul ribut menyebabkan lapan rumah mengalami kerosakan dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, hampir kesemua rumah terbabit mengalami kerosakan bahagian dinding dan bumbung akibat diterbangkan angin kencang dan dihempap pokok tumbang, namun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Penduduk Mohd Radzi Hamzah, 37, ketika ditemui berkata, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku dan tidak pernah terjadi sejak hampir 40 tahun lalu.

“Kejadian berlaku sekitar pukul 4.30 pagi menyebabkan saya, isteri dan dua anak terjaga dari tidur selepas dikejutkan bunyi dentuman kuat dari arah dapur belakang rumah.

“Saya terkejut apabila melihat sebahagian bumbung dapur ranap akibat dihempap sebatang pokok rambutan yang tumbang namun bersyukur kerana tiada ahli keluarga yang cedera,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mohd Syukri Abdullah, 38, berkata, bumbung tandas dan dapur rumahnya juga diterbangkan angin dalam kejadian itu yang disedari ketika sedang bersiap untuk keluar bekerja pukul 5 pagi tadi.

“Sebelum itu, saya tersedar dari lena apabila angin bertiup kencang yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

“Saya hanya sedar bumbung bilik air ‘hilang’ apabila hendak mandi sekitar pukul 5 pagi untuk ke tempat kerja, namun mujurlah hanya saya seorang di rumah ketika itu,” katanya.

Hairul Amin (kiri) melihat kerosakan pada rumah Mohd Syukri yang diterbangkan ribut dalam kejadian di Kampung Serkam Darat, Merlimau, Melaka pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti, (JPKK), Kampung Serkam Darat, Hairul Amin Madon berkata, pihaknya telah mengambil beberapa langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk menimpa penduduk.

“Selepas menerima aduan daripada lapan buah rumah yang mengalami kerosakan, saya telah menelefon Rela dan meminta bantuan daripada unit bencana mereka untuk membersihkan kawasan pokok tumbang

“Kejadian ini juga telah dimaklumkan kepada pihak Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam untuk menguruskan bantuan sewajarnya selepas menerima laporan polis daripada mangsa bencana ini,” katanya,” – MalaysiaGazette.