ANKARA – Seramai 46 mangsa dilaporkan cedera akibat gempa bumi kuat melanda wilayah Duzce di barat laut Türkiye awal Rabu, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Seramai 37 orang cedera di Duzce, pusat gempa, manakala sembilan lagi mangsa dilaporkan di wilayah Istanbul, Sakarya, Bolu, dan Zonguldak, menurut AFAD.

Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu yang tiba di Duzce sejurus selepas kejadian memaklumkan tiada kematian akibat kejadian itu.

AFAD memaklumkan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter, berpusat di Daerah Golyaka melanda negara itu pada 4.08 pagi waktu tempatan(0108GMT).

Gempa itu berlaku pada kedalaman 6.81 kilometer dari dasar laut.

Gegaran turut dirasai di Istanbul dan wilayah lain, termasuk barat laut Bolu, Sakarya, Kocaeli, Bursa, Bilecik, dan wilayah Izmir dan Kutahya barat, serta ibu kota Ankara.

AFAD memaklumkan akibat gempa itu, sebanyak 74 gegaran susulan direkodkan dan pemotongan bekalan kuasa sedang dilakukan di rantau ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Gabenor Duzce, Cevdet Atay mengumumkan bahawa sekolah-sekolah ditutup pada Rabu akibat kejadian itu.

Pada 1999, wilayah Duzce dilanda gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang berlangsung selama 30 saat, mengorbankan 710 orang dan mencederakan 2,679 yang lain.- BERNAMA