Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan pejabatnya selepas selesai menghadiri pada pejumpaan bersama ahli majlis pimpinan Pakatan Harapandi Ibu Pejabat PKR Jalan Gasing, Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 NOVEMBNER 2022.

PETALING JAYA — “Dah kata.. nak tengok wayang. Saya belikan you popcorn.

“Nah popcorn.. pergi tengok wayang,” seloroh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada petugas media ketika meninggalkan pejabatnya di Jalan Gasing di sini petang tadi.

Terdahulu, sebelah pagi, Presiden PKR mengatakan dirinya mahu menengok wayang kepada petugas media yang menanyakan perkembangannya sebaik sahaja keluar dari kediamannya di Bandar Sungai Long, Kajang.

‘Tengok wayang’ dan ‘popcorn’ itu seolah-olah sindiran Ahli Parlimen Tambun itu mengenai kemelut pembentukan kerajaan dan pemilihan Perdana Menteri yang masih kelam kabut antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, pejabat Anwar dikunjungi ramai pemimpin PH namun kesemuanya enggan mengulas mengenai pertemuan mereka dengan bosnya.

Antara yang dilihat meninggalkan pejabat Anwar termasuk Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dan Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R. Ramanan.

Selain itu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli; Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, dan Ahli Parlimen PKR R. Sivarasa.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman turut hadir ke pertemuan itu.

Sebelum itu, Adam Adli dilaporkan berkata, pertemuan hari ini antara lainnya menyentuh isu perkauman yang berlaku dalam negara pasca PRU15.

Katanya, isu berkenaan penting untuk dibincangkan berikutan beberapa pihak yang mengambil kesempatan memainkan sentimen perkauman bagi mencapai matlamat politik. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya nak tengok wayang, kata Anwar