ACP Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Seorang kanak-kanak menemui ajal dipercayai  mangsa dera dengan dipukul dengan benda tumpul di kepala dan perut sehingga pecahnya ususnya baru-baru ini.

Seorang lelaki disyaki bapa tiri mangsa telah diberkas polis selepas disyaki mendera sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek diberkas di pekarangan hospital selepas membawa anak tirinya untuk rawatan lanjut.

Katanya, semalam, lebih kurang pukul 12.39 tengah malam, polis telah menerima satu laporan oleh seorang pegawai perubatan Hospital Serdang yang menyatakan pihaknya telah menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun.

“Mangsa telah dibawa oleh lelaki yang merupakan bapa tirinya menggunakan ambulans dari rumahnya di Taman Sri Ramal dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

“Hasil bedah siasat doktor pakar hari ini terhadap mayat mangsa mendapati punca kematian dipercayai daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan usus pecah.

“Selain itu terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, bertindak atas maklumat, polis telah membuat tangkapan ke atas suspek berumur 53 tahun di perkarangan Hospital Serdang.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku ada memukul mangsa menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas akibat marah kerana mangsa sering membuat masalah di rumah semasa ketiadaan ibunya,” katanya.

Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang esok untuk perintah reman dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette