Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diminta supaya bertenang dalam mendepani kemelut politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ahli-ahli Dewan Rakyat yang dipilih pula seharusnya menghormati Akta Lompat Parti yang telah dikuatkuasakan bagi memastikan insiden “katak-katak politik” tidak berulang.

“Malangnya, desas-desus adanya ahli-ahli Dewan Rakyat yang mengingkari keputusan parti sendiri, seakan-akan memijak-mijak Akta Lompat Parti.

“Watak ahli politik pengkhianat parti perlu ditamatkan agar situasi politik kembali stabil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, negara harus bergerak ke hadapan dalam mendepani saat getir kemelesetan ekonomi yang diunjurkan berlaku pada suku pertama 2023.

Negara perlukan situasi politik yang stabil dan disebabkan itu Yang di-Pertuan Agong telahpun menitahkan agar diwujudkan kerajaan campuran demi rakyat dan negara, katanya.

Malangnya, cadangan Tuanku ditolak mentah-mentah, ujar beliau.

“Dahulukan kepentingan rakyat dan negara. Jangan rosakkan negara ini dengan ketidakstabilan politik untuk lima tahun mendatang.

“Jangan sampai Malaysia menjadi negara tercorot dalam bidang ekonomi untuk rantau Asia Pasifik ini. Berdamailah demi Malaysia tercinta,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast