Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan sekatan jalan raya (SJR) 24 jam di lokasi strategik di setiap daerah seluruh negara sejak semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelaksanaan SJR itu adalah sebahagian daripada usaha PDRM untuk mencegah sebarang bentuk jenayah melalui peningkatan tahap ‘omnipresence’ bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam agar sentiasa terkawal.

“Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan SJR dijalankan pada waktu puncak pada siang hari,” kata Acryl Sani dalam kenyataan yang dikeluarkan di Bukit Aman pagi ini.

Tambah Acryl Sani lagi, orang ramai dinasihati agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui sekatan jalan raya, terutama di luar waktu puncak.

“Masyarakat tidak perlu bimbang untuk menjalankan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan ketenteraman adalah sentiasa terkawal,” tegas beliau.- MalaysiaGazette