KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini tidak ada membincangkan mengenai agenda pemecatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Itu jelas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
“Tidak ada agenda untuk desak presiden letak jawatan,” katanya ketika ditemui media di pintu masuk Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.
Jelas Asyraf Wajdi, apa yang akan dibincangkan malam ini hanya berkisar tentang tawaran daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama dalam pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
“Kita akan meneliti apa tawaran dan syarat-syarat yang dikemukakan dan yang paling penting juga adalah titah YDPA yang minta dan memerintah supaya BN dapat bentuk kerajaan Perpaduan demi rakyat dan kemakmuran negara,” katanya lagi.
BN yang memenangi 30 kerusi sebelum ini mengadakan mesyuarat bersama PH dan BN selepas pihaknya kalah teruk dan kedua-dua gabungan itu gagal mendapatkan majoriti untuk membentuk lerajaan.
Rundingan antara BN-PH berlangsung di Seri Pacific Isnin lalu manakala pertemuan dengan pemimpin PN pula diadakan hari ini di St Regis. – MalaysiaGazette