Surat tiga muka surat menggunakan kepala surat Barisan Nasional kepada YDPA yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Satu surat menggunakan kepala surat Barisan Nasional (BN) kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini berlegar di media sosial.

Isi kandungan berkisar kepada pesetujuan Dewan Tertinggi BN untuk mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan dalam pembentukan kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Surat yang ditandatangani Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu juga menyatakan persetujuan Dewan Tertinggi BN bersama 30 ahli Parlimen untuk memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kesepuluh.

MalaysiaGazette telah menghubungi beberapa pihak dalam BN untuk mengesahkan surat bertajuk ‘Pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Penamaan Calon Perdana Menteri Ke-10 Pasca PRU15’ tersebut namun mereka enggan membuat ulasan.

Bagaimapun, menurut sumber, intipati surat berkenaan adalah perkara yang sama dibincangkan dalam dua mesyuarat BN dan UMNO malam tadi.

Dalam surat tersebut juga terkandung ayat: “Patik lampirkan di sini sesalinan 30 Akuan Bersumpah Penamaan Perdana Menteri Malaysia Ke-10 (Lampiran III). Ampun Tuanku.”

Surat tersebut juga menyebut mana-mana Akuan Bersumpah (SD) selain yang dipersembahkan kepada baginda adalah tidak sah.

“Patik juga ingin memaklumkan bahawa apa-apa dokumen bertulis sama ada dalam bentuk surat atau akuan oleh mana-mana 30 ahli Dewan Rakyat daripada Parti Barisan Nasional Malaysia atau daripada Parti-parti Komponennya yang menamakan seorang ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 selain daripada yang di atas adalah tidak sah dan terpakai serta tidak patut dipertimbangkan yang mana lanya tidak mewakili dan menzahirkan keputusan Parti Barisan Nasional Malaysia.”  – MalaysiaGazette