Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail . Foto HAZROL ZAINAL

KUANTAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebarang keputusan berhubung pembentukan kerajaan negeri, akan dibuat secara bersama dengan pimpinan BN negeri itu.

Beliau mengakui ada berbincang dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) berhubung pembentukan kerajaan negeri, namun setakat ini tiada keputusan muktamad dicapai.

“Tunggu sedikit masa lagi…kita kena berbincang dengan rakan-rakan dalam BN, bincang dengan UMNO dan rakan-rakan ahli (wakil rakyat BN yang menang) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

“Saya belum berbincang dengan mereka lagi dan (saya) tidak akan membuat keputusan secara sendirian,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

DUN Pahang kini tergantung selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 Nov, menyaksikan tiada parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri dengan BN mendapat 16 kerusi, PN (17) dan PH (lapan).

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi, namun proses pengundian bagi DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis ini ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas dipercayai akibat serangan jantung.

Bagi membentuk kerajaan negeri, Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah memaklumkan mereka yang diketuai Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sudah memulakan rundingan bersama BN negeri.

Manakala, PH Pahang menerusi Pengerusinya Datuk Seri Amirudin Shari turut mengadakan perbincangan dengan BN Pahang, selain lapan wakil rakyatnya telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan kepada Wan Rosdy untuk terus mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.- BERNAMA