Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika Sidang Media pertamanya di Sungai Long Club House, kajang, Selangor. Foto, MUHD NA’IM, 24 NOVEMBER 2022.

KAJANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan pimpinannya akan membentangkan satu Bajet Mini selepas pembukaan sidang Dewan Rakyat, pada 19 Disember depan.

Jelas beliau, ia bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.

“Untuk bajet, kita perlu luluskan emolumen terlebih dahulu pada 19 Disember, supaya penjawat awam kita tidak bimbang.

“Selepas itu, dalam kira-kira sebulan kemudian, kita akan bentangkan semakan bajet (Bajet 2023 yang menyeluruh),” katanya pada sidang media pertamanya di Dewan Kelab Sungai Long malam ini.

Beliau berkata, kelulusan emolumen itu penting bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung gaji berikutan Bajet 2023 masih belum diluluskan.

Tambah Anwar, selepas kelulusan RUU mini itu, beliau memaklumkan kerajaan pimpinannya dijangka membentangkan belanjawan susulan secara menyeluruh, kira-kira sebulan selepas sidang Parlimen berkenaan.

Bekas Menteri Kewangan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, bajet itu dapat dibahaskan secara menyeluruh dan diluluskan selepas Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Ekoran itu, Bajet 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat bagi memastikan belanjawan mengurus kerajaan awal tahun depan diluluskan. – MalaysiaGazette