Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah pada hari keputusan sama ada diarah membela diri atau lepas pertuduhan bagi kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini mengarahkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali Bella.

Siti Bainun, 30, yang memakai baju kurung hitam dan tudung merah jambu kelihatan berada di kawasan letak kereta Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 8 pagi dan menuju ke pekarangan mahkamah kira-kira sejam selepas itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi ketika membacakan keputusan pada akhir kes memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun yang berhadapan dengan dua pertuduhan mengabai dan menganiya Bella.

Mahkamah memberi tiga pilihan iaitu memberi keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh yang mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu atau  memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh.

Manakala pilihan ketiga ialah berdiam diri.

Siti Bainun yang memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang kelihatan tenang.

Beberapa orang ahli keluarga memeluk Siti Bainun selepas keputusan pagi ini. 

Pada 28 Oktober lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan yang bermula 30 Mac lepas.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

Sebelum ini, Siti Bainun mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette