Gambar hiasan

BEIJING – Kawalan kesan limpahan impak krisis perlu diutamakan dalam kerjasama masyarakat antarabangsa untuk menyelesaikan isu Ukraine, kata Naib wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang.

Geng berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Keselamatan PBB ketika membahas isu Ukraine pada Rabu.

Beliau berkata, China mengalu-alukan pelbagai pihak terlibat agar bersepakat untuk mencapai persetujuan perjanjian eksport pertanian dari pelabuhan Laut Hitam.

China juga berbesar hati setelah dimaklumkan bahawa sekretariat PBB akan meneruskan usaha untuk menyelesaikan sekatan yang dihadapi Rusia untuk mengeksport bijirin dan baja kimia.

“China berharap pelbagai pihak mengekalkan hubungan berdasarkan kemajuan tersebut dan berusaha agar mencapai lebih banyak perkembangan dalam sektor diplomatik,” kata beliau.

Beliau berkata konflik Ukraine masih berlangsung dengan kemudahan awam terus diserang sekali gus mengakibatkan banyak kecederaan dan kematian serta ramai penduduk kehilangan tempat tinggal.

Situasi itu amat membimbangkan dan menggesa pelbagai pihak mengadakan perjumpaan untuk melancarkan semula rundingan dengan secepat mungkin.

“Masyarakat antarabangsa perlu bersama-sama menyokong semua usaha berkomitmen penyelesaian krisis Ukraine secara damai, mengelakkan konflik itu menjadi daripada meruncing, berusaha memastikan kestabilan rantai industri dan rantai bekalan sejagat, serta memperbaiki situasi kemanusiaan serantau,” kata Geng.

Beliau turut berharap masyarakat antarabangsa membantu Ukraine untuk membaik pulih infrastruktur sumber tenaga yang rosak selain menghulurkan bantuan kepada penduduk tempatan untuk mengatasi cuaca sejuk.

Geng turut menyentuh mengenai keadaan loji jana kuasa nuklear Zaporizhzhia yang terjejas teruk dalam serangan meriam serta mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa akan menjurus kepada berlakunya malapetaka nuklear.

Jelas beliau China menyokong Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang diberi mandat meneruskan perbincangan dengan Rusia dan Ukraine mengenai keselamatan loji janakuasa itu agar mencapai satu pakej penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak itu.

Geng menekankan bahawa pendirian China dalam isu Ukraine adalah konsisten dan jelas, selain turut memberitahu China akan bersama-sama masyarakat antarabangsa memainkan peranan konstruktif dalam penyelesaian krisis Ukraine. – BERNAMA