Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-Gon telah memanggil seorang lagi pemain iaitu Fazly Mazlan untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Selasa depan persiapan menjelang Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Pemain pertahanan Selangor itu akan melapor diri pada 5 Disember ini selepas tamat perlawanan akhir Final TM Piala Malaysia 2022, esok.

Fazly juga merupakan pemain yang ke-30 menyertai kem latihan pusat tersebut.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember depan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya Pan Gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember ini, Laos di Bukit Jalil tiga hari kemudian, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember ini dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari depan.

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6 dan 7 Januari depan dan 9 atau 10 Januari depan manakala final pula dijadual pada 13 dan 16 Januari depa semuanya secara timbal balik.

Tanpa 12 pemain regular yang tidak dapat menyertai pasukan pada kali ini, barisan pemain terbaik ini untuk menghadapi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang memberi peluang kepada mereka membuktikan kemampuan masing-masing,.

Ia juga menjadi platform untuk Pan-Gon mempersiapkan pasukan menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026 bermula tahun depan dan juga Piala Asia 2023 di Qatar nanti.

Sementara itu, sebagai menghormati Peraturan Status Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), 12 pemain tersebut tidak akan disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022

Ia berdasarkan Peraturan Status Perpindahan Pemain FIFA; Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 yang menyatakan bahawa kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau pertandingan dan tidak wajib melepaskan pemain yang sama untuk lebih dari satu perlawanan akhir pasukan wakil “A” setiap tahun di mana pengecualian kepada peraturan ini boleh ditetapkan oleh Majlis FIFA bagi Piala Konfederasi FIFA sahaja. – MalaysiaGazette

.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast