Ahmad Zahid masih mendapat sokongan sebahagian besar Ketua-ketua UMNO Bahagian di seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian yang hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan kepadanya, semalam.

Presiden UMNO itu berkata, beliau amat menghargai solidariti yang ditunjukkan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara ketika dirinya dihimpit dengan krisis ketidakpercayaan oleh segelintir ahli serta pemimpin parti.

“Terima kasih semua sahabat yang hadir beri sokongan beramai-ramai siang tadi. Solidariti sahabat-sahabat Ketua Bahagian UMNO seluruh negara memberi sokongan padu, saya amat hargainya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Dalam solidariti semalam, sekurang-kurangnya 130 daripada 190 Ketua UMNO Bahagian menyatakan sokongan kepada Ahmad Zahid sebagai presiden.

Menurut Ahmad Zahid, solidariti yang ditunjukkan itu amat perlu terutama ketika parti sedang diuji isu kerjasama dengan Pakatan harapan (PH) dan serangan bertalu-talu dari luar dan dalam yang boleh menggugat keutuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Terima kasih sekali lagi dan Allah sahaja yang mampu membalas semangat kesetiakawanan dan keberanian sahabat semua,” katanya. – MalaysiaGazette