Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan bercakap pada sidang media selepas selesai membuat laporan mengenai isu perkauman dan agama yang telah dimainkan oleh setengah ahli politik di dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR- Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mendesak polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap beberapa individu dan parti yang didakwa telah menyebarkan isu dan percakapan berbaur kebencian serta perkauman di negara ini.

Ketua Mobilisasi Amanah Kebangsaan, Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya telah mengesan sembilan pautan di laman media sosial yang menyentuh dan menyebarkan isu kebencian dan sensitiviti perkauman sejak kebelakangan ini.

“Pada pengamatan saya, hantaran dan pautan dalam media sosial itu adalah berbaur rasis dan cubaan menanam kebencian dalam kalangan rakyat majmuk kita yang berisiko bahaya dan boleh membawa kepada pecah belah.

“Hantaran  itu berisiko mencetuskan permusuhan, kebencian dan mengganggu gugat keharmonian agama pelbagai dalam kalangan rakyat Malaysia sekiranya tidak disiasat dan diambil tindakan dengan kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabar Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Iskandar Puteri, Amirah Aisyah.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan (tengah) bersama Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz (dua kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat pada sidang media selepas selesai membuat laporan mengenai isu perkauman dan agama yang telah dimainkan oleh setengah ahli politik di dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 NOVEMBER 2022.

Mohd Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka memuat naik kandungan yang mengganggu gugat perpaduan kaum dan keharmonian rakyat.

“Kami berharap polis dapat menyiasat perkara ini yang jelas menyalahgunakan perkhidmatan dan rangkaian perkhidmatan kerana, menghasut, mencetak dan menularkan kenyataan perkauman, khabar angin yang mampu mencetuskan ancaman, kebimbangan dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau yang mendakwa Pas dikesan menyebarkan kebencian di media sosial berkata, polis perlu menyiasat dan mengambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, ia dilakukan semasa berkempen pada pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis itu.

“Kami telah menyerahkan laporan itu kepada Balai Polis Bukit Sentosa untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau. -MalaysiaGazette