Nur Insyirah dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

GEORGE TOWN – Seorang bapa sanggup berkorban kerjaya dan tenaga demi menjaga anak tunggalnya yang menghidap barah leukemia Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) .

Muhd Iqbal Zamani Md Noor, 45, juga terpaksa berulang alik dari Kangar, Perlis ke Pulau Pinang untuk rawatan Nur Insyirah, 15, agar kesihatannya tidak terjejas.

Menurut Muhd Iqbal, kehidupan keluarga mereka berubah apabila mendapat khabar duka mengenai anak perempuannya pada hari ulang tahun kelahirannya iaitu pada Mac lalu.

Muhd Iqbal bergambar dengan anak tunggalnya yang kini sedang bergelut dengan barah leukemia Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) .

Jelasnya, Nur Insyirah disahkan mengidap barah pada Mac lalu selepas mengalami gejala demam, ruam dan pendarahan hidung sebelum dimasukkan ke Hospital Kangar, Perlis sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Sejak itu saya terpaksa berulang alik dari Perlis ke Pulau Pinang bagi membawa Nur Insyirah mendapatkan rawatan susulan dan kemoterapi.

“Keadaan itu juga membuat saya terpaksa berhenti kerja sebagai pengurus pengeluaran di sebuah kilang bagi memastikan anak tunggal saya mendapat penjagaan yang sempurna,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Muhd Iqbal berkata, segala rawatan dan kemoterapi terhadap Nur Insyirah berjalan dengan baik namun pada Oktober lalu, doktor mengesahkan barahnya kembali menyerang.

“Baru sahaja kami menaruh harapan bahawa kesihatannya akan pulih, tetapi barah itu kembali semula.

Nur Insyirah merupakan pelajar SMK Agama Perempuan Kangar, Perlis.

“Lebih menyakitkan apabila Nur Insyirah kini terpaksa menjalani rawatan psikiatri akibat kemurungan dan rasa cemas (anxiety) susulan penyakitnya,” katanya.

Mengulas lanjut Muhd Iqbal berkata, keluarganya kini bergantung penuh kepada pendapatan isterinya sebagai tukang jahit.

Katanya, dia juga melakukan kerja sambilan dengan mengambil upah bekerja di kedai makan bagi mencari wang untuk kegunaan Nur Insyirah termasuk perjalanan merentas negeri.

“Meskipun mempunyai sakit buah pinggang, ibu saya turut memberikan wang pencennya untuk kegunaan Nur Insyirah memandangkan wang simpanan kami hampir habis,” ujarnya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Islam 9010020758195 (Muhd Iqbal) atau menghubunginya di talian 017 446 1131. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast