Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berbual mesra dan bergambar bersama Perdana Menteri ke 10, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 NOVEMBER 2022

KERAJAAN Perpaduan bukan perkara baharu di Malaysia. Idea penubuhan kerajaan perpaduan pernah pertama kali dicadangkan oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada tahun 2009, iaitu gabungan di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PR). Ketika itu pengerusi BN ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5. Namun setelah BN dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Razak, idea tersebut ditarik balik oleh Presiden Pas dengan alasan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia disebabkan rakyat Malaysia belum bersedia
menerimanya.

Ia juga berkaitan dengan rentetan dari penolakan rakan Pas dalam PR ketika iaitu iaitu PKR dan DAP. Walaupun bagaimanapun sejurus selepas PRU-15 cadangan kerajaanperpaduan ini timbul semula apabila dicadangkan kali kedua oleh seorang pemimpin veteran DAP iaitu Lim Kit Siang. Ianya menjadi perdebatan di antara dua blok utama PH dan PN kerana dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai jalan penyelesaian terhadap kemelut yang sedang dihadapi negara akibat tidak ada majoriti mudah bagi setiap blok untuk menubuh kerajaan yang akhirnya membawa kepada
pertabalan Datuk’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke10.

Pentakrifan Kerajaan Perpaduan

Tindakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah menganjurkan penubuhan Kerajaan Perpaduan berdasarkan hasrat murni baginda agar Kerajaan Malaysia menjadi lebih stabil berbanding sebelum ini yang agak goyah sehingga terpaksa bertukar Perdana Menteri sebanyak tiga kali. Ia membuktikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam berhadapan dengan kemelut ketiadaan calon yang layak ditabalkan sebagai PM ketika itu. Namun kerajaan perpaduan yang dimaksudkan oleh baginda masih kurang jelas dalam kalangan para ahli politik dan rakyat jelata. Ada yang menyatakan pembentukan kerajaan ketika ini sudah menepati Kerajaan Perpaduan walaupun tidak disertai oleh parti yang mempunyai ahli parlimen paling ramai iaitu Pas ataupun blok Perikatan Nasional yang mewakili 73 kerusi. Ada yang berpendapat asalkan mempunyai pelbagai penyertaan parti yang mewakili pelbagai blok termasuk dari Semenanjung dan Borneo maka sudah dianggap kerajaan perpaduan.

Apa-apapun pentakrifan kerajaan perpaduan, ia masih berpaksikan kepada kerajaan tanpa pembangkang kecuali melibatkan pembangkang dari parti-parti kecil yang enggan terlibat bersama mengurus negara. Jika gabungan parti besar tidak terlibat maka pentakrifan kerajaan perpaduan tidak dianggap berlaku sepenuhnya. Istilah yang lebih sesuai digunakan ialah kerajaan campuran sebagaimana berlaku sebelum ini iaitu Kerajaan Perikatan Nasional yang melibatkan gabungan di antara BN, Pas, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah dan Bebas. Walau bagaimana pun istilah kerajaan perpaduan jika diguna pakai sekalipun sebagaimana ketika ini maka merujuk kepada makna majazi (lafaz yang tidak dimaksudkan makna asal kerana ada perluasan makna lain) bukan makna haqiqi (makna asal).

Kelebihan Kerajaan Perpaduan berpaksikan kestabilan negara

Kelebihan Kerajaan Perpaduan ialah masing-masing parti masih boleh meneruskan ideologi parti yang diperjuangkan. Sebagaimana yang diketahui di Malaysia setiap parti mempunyai konsep dan perjuangan masing-masing dalam meraih sokongan rakyat Malaysia. Dalam mana-mana pilihan raya umum sehingga kini, rakyat biasanya akan memilih parti yang membawa perjuangan yang selari dengan kepentingan mereka. Ini kerana politik masa kini di Malaysia masih berakarumbikan kepentingan kaum dan agama. Walaupun ada pihak menolak neratif tersebut namun hakikat yang
berlaku ketika ini tidak mampu dinafikan. Parti yang mendendangkan slogan dan konsep meraikan kepelbagaian dan kesaksamaan kaum dan agama masih bersifat ritorik.

Realitinya ialah di Malaysia tidak ada kaum yang mahu dipinggirkan kepentingan kaumnya sebagaimana tidak ada kaum yang mahu berkorban hak untuk kaum lain. Hakikatnya peruntukan hak keistimewaan Melayu dan bumi putra dinyatakan dalam perlembagaan Persekutuan tanpa menafikan hak kaum lain, namun ia masih tidak diterima oleh semua kaum kerana dikatakan menindas hak mereka. Begitu juga kaum Melayu dan bumi putra tidak mahu hak tersebut diganggu gugat kerana menganggapnya sebagai hak asal mereka bersesuaian dengan sejarah dan latar belakang Malaysia sebelum ini.

Disebabkan kerencaman kaum dan agama ini Kerajaan Perpaduan dianggap wasilah yang mampu menjernihkan kesemua kehendak tuntutan rakyat kerana asas utama kerajaan perpaduan ialah semua dasar kerajaan perlu diputuskan secara politik permuafatan. Begitu juga setiap kementerian dikuasai bersama tanpa membezakan di antara parti yang memiliki ahli parlimen yang ramai atau tidak. Berdasarkan teori ini, maka diharapka negara ditadbirurus dengan baik, berkesan dan stabil.

Kekangan Kerajaan Semi-Perpaduan di Malaysia

Perdebatan masih berlaku sama ada kerajaan yang dibentuk ketika ini menepati kerajaan perpaduan sebenar ataupun tidak sebagaimana yang disarankan oleh Yang di- Pertuan Agong. Namun apa yang boleh diperkatakan sehingga kini disebabkan PN menolak menyertainya maka bentuk kerajaan ketika ini jika ingin dikenali sebagai kerajaan perpaduan sekalipun boleh disebut sebagai kerajaan semi perpaduan sahaja atau lebih tepatnya kerajaan campuran. Jika dianalogikan dengan kerajaan PN sebelum ini maka kerajaan sekarang adalah sinonim dengan Kerajaan PH. Sama ada kerajaan semi perpaduan ataupun kerajaan campuran kenkangan dan cabaran lebih getir berbanding kerajaan PN sebelum ini.

Kestabilan kerajaan ini banyak bergantung kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengemudi utamanya. Ini kerana ideologi asal yang didukungi oleh parti-parti yang berada dalam kerajaan ini bertentangan di antara satu sama lain. Namun ketika ini ia agak lebih rencam apabila masing-masing mengubah strategi parti dari berpegang kepada ideologi asal kepada pemurnian ideologi khususnya melibatkan parti BN dan PH sedangkan ahli parti masing-masing masih berpegang kepada ideologi lama yang menjadi asas kepada penubuhan parti. Jika ideologi lama tidak lagi diamalkan oleh parti masing-masing maka kesesuaian yang terbaik ialah mana-mana parti diserap sepenuhnya kepada parti yang dominan sebagaimana berlaku dalam parti KeAdilan Rakyat pada tahun 2003. Ia merupakan gabungan di antara Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dengan parti Rakyat Malaysia (PRM).

Kekangan seterusnya ialah manifesto yang ditawarkan oleh parti masing-masing ketika menghadapi ‘peperangan’ PRU15. Walaupun manifesto tidak dianggap kitab suci oleh sesetengah pihak, namun rakyat yang mengundi parti masing-masing tetap menagih manifesto yang ditawarkan. Beberapa manifesto yang ditawarkan agak bertentangan di antara satu sama lain. Sebagai contohnya pengiktirafan sijil Unified Examination Certificate (UEC) yang menjadi sebahagian manifesto PH dalam PRU-15 bahkan juga menjadi manifesto PH dalam PRU-14. Pengiiktirafan ini dikatakan bertentangan dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta 556 Pendidikan Negara dan dasar Bahasa Kebangsaan. Keberangkalian yang berlaku ialah masing-masing tidak mahu mengalah ataupun kepentingan mana-mana parti perlu dikorbankan untuk menjayakan agenda kerajaan perpaduan.

Kestabilan Kerajaan melalui Kerajaan Perpaduan Dan Kerajaan Campuran

Secara zahirnya ketika ini penubuhan kerajaan perpaduan yang diharapkan oleh Yang di Pertua Agong masih belum dilihat mampu menstabilkan negara kerana keengganan blok PN dari menyertainya. Sebenarnya masing-masing blok yang bersetuju dan enggan menerima melihat dari sudut berbeza. PN lebih melihat kepada kelebihan dan kemaslahatan menjadi blok pembangkang kerana mampu menyumbang kepada penimbang tara kerajaan yang sedia ada. Mereka melihat secara tidak langsung tindakan tersebut juga sebagai sumbangan ke arah kestabilan negara yang sebenar .

Selain dari bermatlamatkan meraikan para penyokong yang memberikan sokongan di atas asas perjuangan yang digalas, mereka juga menganggap ia lebih menjamin negara berada dalam landasan yang benar kerana mampu bertindak sebagai perimbangan kuasa kerajaan dari terjerumus kepada penyelewengan dalam mentadbir dan mengurus negara. Melalui kerajaan semi perpaduan ini blok pembangkang boleh saling bekerja sama dengan kerajaan dalam perkara yang menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara di peringkat nasional dan antara bangsa. Justeru itu kestabilan sebenar adalah sikap tolak ansur di antara blok pembangkang dan kerajaan dalam mengutamakan kemaslahatan rakyat dan negara bukannya keutamaan parti atau individu pemimpin semata-mata.

Dr Ridzwan Ahmad
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya