Yong Teck Lee

KUALA LUMPUR – Parti Progresif Sabah (SAPP) berikrar untuk memainkan peranan semak dan imbang bersama Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan.

Pada masa sama, parti ini memberikan sokongan GRS terhadap Kerajaan Perpaduan Persekutuan seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS, kata Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee.

Teck Lee yakin kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang baharu akan menghormati dan menjunjung tinggi perlembagaan negara iaitu sistem persekutuan yang mana semua kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama antara satu sama lain untuk kebaikan bersama rakyat tanpa mengira penjajaran politik.

GRS, yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), SAPP dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), yang bekerjasama dengan BN serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), untuk mentadbir Sabah.

Dalam pada itu, Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dalam kenyataan berasingan, pula berkata, parti itu mengambil pendirian yang sama dengan GRS menyokong kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, beliau melihat PN kini di laluan berbeza dengan STAR dan hanya masa akan menentukan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Namun, ia mahu menunggu situasi politik semasa reda sebelum mengambil langkah seterusnya. – MalaysiaGazette