Bekalan telur ayam dan minyak masak peket bersubsidi di semua premis jualan di negeri ini mencukupi termasuk di pasaraya dan kedai runcit sekitar kawasan perumahan.

MELAKA – Bekalan telur ayam dan minyak masak peket bersubsidi di semua premis jualan di negeri ini mencukupi termasuk di pasar raya dan kedai runcit di kawasan perumahan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, pemeriksaan setakat semalam mendapati, kesemua pembungkus minyak masak dan pengeluar telur tidak menghadapi masalah pengeluaran.

“Setakat semalam, lebih 160,000 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi sudah diedarkan dan pemeriksaan juga mendapati ia dijual pada harga kawalan dengan had tiga peket bagi setiap keluarga di kaunter jualan.

“Pemeriksaan terhadap minyak masak botol pelbagai jenama dalam bekas 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg juga dijual mengikut harga kawalan yang ditetapkan,”katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Norena Jaafar

Manakala bagi bekalan telur pula katanya, pemeriksaan diperingkat pemborong, pasaraya dan peruncit mendapati bagi stok mencukupi sebanyak dengan lebih 250,000 telur pelbagai gred di pasaran semalam.

“Di peringkat pemborong, contohnya, mereka telah mengeluarkan lebih 226,000 telur bermula Gred A hingga E selain beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Melaka Tengah serta Jasin mempunyai lebih 5,000 stok telur pelbagai gred.

“Jadi kita harap, orang ramai tidak melakukan pembelian panik melebihi keperluan sehingga menjejaskan penggunaan sebenar di pasaran,” katanya – MalaysiaGazette