PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji komitmen yang diberikan penjawat awam kerana sangup hadir bertugas pada hujung minggu.
Katanya, walaupun seringkali mereka tidak dihargai oleh masyarakat namun beliau berasa bangga terhadap kakitangan awam.
Pujian tersebut diberikannya kerana penjawat awam mampu membuat persiapan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup 2022 yang berlangsung hari ini dalam tempoh yang singkat.
“Tapi hari ini satu permulaan yang membanggakan saya kerana semua Pengarah Kementerian, KSU (ketua setiausaha) termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia hadir walaupun pada pagi ini hari minggu.
“Jadi, saya mestilah zahirkan satu kebanggaan terhadap sikap penjawat awam yang seringkali tidak dihargai oleh masyarakat tentang kesungguhan mereka membantu.
“Mereka datang dalam masa singkat dengan persiapan semua angka, data dan rencana kerana saya lebih berminat untuk mengetahui keadaan semasa dan langkah-langkah yang harus diambil walaupun ini hanya sebuah mesyuarat NACCOL (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara), ” katanya pada sidang akhbar hari ini..
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Gabenor BNM,a Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Para pegawai Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli juga hadir. – MalaysiaGazette