HRD Corp menganjurkan National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2022 yang menghimpunkan pakar sumber manusia dan perniagaan terkemuka Asia Tenggara untuk memacu aspirasi HR 5.0 Malaysia.

KUALA LUMPUR – Setelah hampir dua tahun, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) kini kembali menganjurkan National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2022 yang menghimpunkan pakar sumber manusia dan perniagaan Asia Tenggara.

Ia diadakan untuk memacu aspirasi HR 5.0 Malaysia.

Persidangan NHCCE 2022 akan berlangsung esok bermula pukul 9 pagi di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood berkata, pihaknya teruja dengan persidangan yang bakal menghimpunkan lebih 2,000 delegasi dan 30 penceramah terkemuka Asia Tenggara.

Ianya juga akan meliputi enam landasan utama bagi meningkatkan keutamaan HR 5.0 Malaysia.

Katanya, dahulu persidangan itu dikenali sebagai HRDF Conference & Exhibition kini telah kembali semula selepas ‘berehat’ selama dua tahun dengan nama baharu, NHCCE 2022.

Ia sejajar dengan peranan, keutamaan HRD Corp yang telah diperluaskan.

Bertemakan HR 5.0: The Next Evolution in Human Resource Development (Evolusi dalam Pembangunan Sumber Manusia), NHCEE 2022 akan memperkasakan pengamal sumber manusia untuk mengambil pendekatan baharu yang memerlukan mereka menerima teknologi dan proses baharu, membina kemahiran dan kecekapan kritikal serta memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerja.

“Kita di HRD Corp yang berperanan sebagai penjaga utama usaha pembangunan bakat Malaysia komited untuk mempelopori agenda HR 5.0 demi mengukuhkan modal insan Malaysia dan mempercepatkan pertumbuhan serta produktiviti negara,” katanya.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood

Untuk makluman, lebih 2,000 delegasi akan menghadiri enam trek sesi perbincangan yang dikendalikan oleh 30 penceramah tempatan dan antarabangsa yang terkemuka antaranya Aireen Omar, Presiden Capital A (Ventures), yang dahulunya dikenali sebagai Kumpulan AirAsia; Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia; Rachele Focardi, Pengasas XYZ@Work, Singapura dan Neeti Mahajan, Ketua Pegawai Pentadbiran Kumpulan Global di HSBC.

Dalam pada itu, kata Shahul lagi, sepanjang dua hari acara itu berlangsung pengunjung juga berpeluang melawati lebih 200 tapak pameran yang disertai organisasi dan juga agensi yang mempromosi produk serta perkhidmatan mereka secara percuma.

Jelasnya, pameran berkenaan diadakan di Dewan 9, Aras 3 di MITEC bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

“Pelbagai aktiviti menanti para pengunjung di dewan pameran tersebut, antaranya pameran program Upskilling dan Reskilling, pameran kerjaya oleh HRD Corp Placement Centre yang menawarkan lebih 1,000 jawatan kosong kepada rakyat Malaysia serta Pocket Talk yang membincangkan mengenai Evolusi Pembangunan Manusia oleh speaker selebriti seperti Fahrin Ahmad, Atilia Harun dan Ally Iskandar.

“Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah yang menarik sekiranya menyertai Let’s Tour & Win pada pameran tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahul menyatakan harapan beliau terhadap NHCCE 2022 yang bakal menyokong pertumbuhan dan pemulihan ekonomi Malaysia dengan mengurangkan pengangguran kelak.

“Kami berbangga dapat mengembalikan persidangan dan pameran utama tahunan kami kepada pemain industri di rantau ini dengan tumpuan yang lebih untuk memperkukuh modal insan Malaysia dengan menerima HR 5.0, yang berasaskan wawasan, teknologi dan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

“Kami juga akan memperkenalkan sebuah indeks yang akan membantu kami memahami prestasi latihan negara dan meningkatkan inisiatif pembelajaran serta pembangunan negara kita esok.

“Pada majlis pelancaran esok juga kami akan bertukar perjanjian persefahaman dengan sebuah rangkaian perkongsian terkemuka antarabangsa dalam usaha untuk mengembangkan peluang pembelajaran dalam talian bagi bakat Malaysia untuk jangka panjang kelak,” katanya. -MalaysiaGazette