Indra Wijaya (kiri) dan Lee Zii Jia (kanan) - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Selepas kira-kira sembilan bulan membimbing Lee Zii Jia sebagai pemain profesional, Indra Wijaya tidak lagi bersama pemain nombor dua dunia itu yang mahu bergerak tanpa jurulatih.

Indra, 48, berkata keputusan tersebut dicapai ketika perbincangan antara beliau bersama jaguh perseorangan lelaki negara pada Jumaat lepas.

“Zii Jia mahu meneruskan perjalanannya sebagai pemain independent (profesional) dengan bermain tanpa jurulatih. Kita telah berbincang dengan baik dan saya hormati keputusannya.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau untuk kariernya. Satu pelajaran dan pengalaman yang bagus bersama beliau, anda boleh melihat pencapaian yang diperoleh selama ini serta naik turun kami bersama,” katanya ketika di hubungi Bernama.

Pemenang pingat gangsa Piala Dunia 1997 kelahiran Indonesia itu, yang telah pulang bertemu keluarganya di Jakarta, kini terbuka untuk menerima mana-mana tawaran baharu.

“Setakat ini belum ada apa-apa perancangan (mengenai masa depan) kerana keputusan itu diambil secara tiba-tiba tetapi saya terbuka dan sedia menerima apa-apa tawaran menjadi jurulatih. Kepakaran saya memang dalam perseorangan, tidak kira lelaki atau wanita,” katanya.

Indra beraksi untuk Indonesia pada era 1995 hingga 2000 dengan mencapai ranking terbaiknya keempat dunia serta menjuarai Piala Thomas 1998, sebelum mewakili Singapura bermula 2001.

Beliau kemudian memulakan kariernya sebagai jurulatih di akademi milik adiknya, iaitu pemenang emas beregu lelaki Sukan Olimpik 2000 Candra Wijaya, dan seterusnya sebagai jurulatih perseorangan lelaki Korea Selatan.

Indra dilantik sebagai jurulatih skuad junior lelaki di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula 2016, dengan Zii Jia, Iskandar Zulkarnain, Goh Soon Huat, Soong Joo Ven dan Cheam June Wei adalah antara pemain digilapnya sebelum menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih perseorangan wanita pada 2020.

Pada Februari lepas, Indra meninggalkan BAM untuk membimbing Zii Jia yang terlebih dahulu ‘angkat kaki’ dari BAM untuk bergerak sebagai pemain profesional.

Sementara itu, pengurus Zii Jia, Lee Zii Yii menegsahkan perkara berkenaan menerusi satu kenyataan ringkas.

“Kami amat menghargai usaha dilakukan jurulatih Indra untuk Zii Jia dan pasukan. Beliau akan kekal sebagai mentor penting kepada Zii Jia dan pasukan.

“Kami mendoakan yang terbaik buat jurulatih Indra untuk masa depannya,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast