Presiden MBNP, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid

KUANTAN – Orang muda seharusnya diberi peluang untuk menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Pahang termasuk barisan Exco.

Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid  berpendapat, wakil orang muda perlu ada suara dalam kerajaan negeri dan menjadi sebahagian daripada pembuat dasar.

“MBNP berharap agar Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dilantik nanti adalah mereka yang berkemampuan dan berkebolehan untuk memegang jawatan berkenaan.

“Tahniah kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismail yang telah dilantik semula selaku  Menteri Besar Pahang pada hari ini.

“MBNP penuh kepercayaan bahawa Wan Rosdy  akan meneruskan kecemerlangan yang telah dilakarkan sejak 2018 lagi,” kata Izzat dalam satu kenyataan hari ini.

MBNP menjunjung kasih kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibn Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan  menyelesaikan kemelut yang berlaku dan perkenan penubuhan kerajaan negeri pasca PRU-15.

Pihaknya menyeru semua parti politik dan pihak untuk menghormati titah Pemangku Raja Pahang berkenaan penubuhan kerajaan negeri Pahang serta kembali memberikan fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“MBNP menyeru kepada semua pihak untuk kembali membulatkan tekad dan azam kepada membangunkan negeri dan negara ini.

“Waktu berpolitik sudah tamat, tiba masa waktu berkhidmat,” katanya. – MalaysiaGazette