Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bercakap pada sidang media mengenai Agenda Insurans Scammer dan Polisi Kosong selepas Majlis Memorandum Kerjasama Semobyan Malaysia dan DFZ Agency Sdn Bhd di Hadramawt Kitchen, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR — Persatuan Semboyan Malaysia (Semboyan) hari ini mendedahkan terdapat penilai (adjuster) insurans memanipulasi pengguna dalam proses tuntutan kemalangan dengan harga tidak masuk akal.

Pengerusinya, Yusuf Azmi berkata, pihaknya telah menerima lebih 200 aduan berhubung penganiayaan pihak adjuster terhadap mangsa kemalangan.

“Banyak aduan yang kita terima yang mana menyatakan mangsa kemalangan dimanipulasi dengan tuntutan insurans kenderaan yang tidak wajar.

“Sebagai contoh, harga tuntutan sebenar membaiki kenderaan selepas kemalangan adalah RM5,000 namun tuntutan dibuat penilai insurans sehingga RM10,000, ini tidak logik.

“Kita (pengguna) rasa pihak penilai tidak menyebelahi. Saya tidak menafikan pihak insurans banyak memberi bantuan tetapi proses itu begitu lama. Kadang-kadang tuntutan kereta mengambil masa sehingga dua bulan”

“Pengguna juga tidak dimaklumkan mengenai laporan penuh, malah tidak boleh melihat laporan itu daripada pihak insurans kerana beberapa polisi syarikat. Ia jelas adalah satu penganiayaan kepada mangsa kemalangan yang tidak mempunyai rujukan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bercakap pada sidang media mengenai Agenda Insurans Scammer dan Polisi Kosong selepas Majlis Memorandum Kerjasama Semobyan Malaysia dan DFZ Agency Sdn Bhd di Hadramawt Kitchen, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2022.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Kerjasama antara Semboyan dan agensi insurans DFZ Agency Sdn. Bhd., di sini, hari ini.

Menurut Yusuf, menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak dapat membantu pengguna yang dimanipulasi penilai insurans.

“Syarikat ini boleh berunding dengan penilai sedia ada bagi memastikan ketelusan dalam tuntutan insurans kenderaan yang terbabit dalam kemalangan.

“Kita mahu tuntutan itu telus dan dilakukan secara terbuka, justeru melalui kerjasama ini secara tidak langsung dapat memudahkan pengguna,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif DFZ Agency, Abd Hafiz Abd Majid berkata, proses membuat tuntutan dari pihak adjuster sehingga tuntutan selewat-lewatnya mengambil masa dua minggu untuk selesai.

Beliau memberitahu, sejurus laporan polis dibuat, pihak adjuster perlu menilai dalam masa 48 jam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast